|
Kaya sungguh hero kita ni, nak menjaga kebersihan punya pasal, sanggup mandi menggunakan air mineral. Al-kisahnya bermula apabila lokasi penggambaran Niyang Rapik di Tasik Kenyir kekurangan air yang bersih, dan atas sebab itulah Kamal ‘mencuri’ mineral tuan pengarah untuk membersihkan diri.
“Mula-mula memang kami mandi gunakan air di Tasik Kenyir. Tapi bila tengok balik, air yang digunakan untuk mandi, masak, dan membuang datang daripada sumber yang dikitar semula, terus tak lalu nak gunakan air tasik.
“Kami pakat ‘curi’ air mineral abang Idham untuk mandi. Hampir dua minggu begitu sebab kami tinggal di atas rumah bot. Tapi memang seronok dan satu pengalaman baru,” cerita Kamal yang digandingkan bersama Awal Ashaari, Shaheizy Sam, Zed Zaidi, Liyana Jasmay dan Fizz Fairuz dalam Niyang Rapik.
Terlibat dalam penggambaran filem seram, pastinya Kamal juga tidak terlepas daripada mengalami sendiri kejadian misteri ketika di set.
“Saya ingat lagi masa shooting di Langat dalam pukul 3.00 pagi, tiba-tiba generator terpadam dan kemudiannya hidup dengan sendiri. Lagi satu apabila lori krew tiba-tiba terbalik sebab dipahamkan mata pemandunya tiba-tiba gelap tidak nampak apa-apa.
“Namun sepanjang berada di Tasik Kenyir, syukur tiada kejadian tidak diingin berlaku. Sebagai persediaan, pihak produksi membawa pawang di set penggambaran,” ujarnya.
Kamal antara watak utama dalam Niyang Rapik yang mengisahkan lima pelajar Kajian Sejarah yang mengalami peristiwa misteri terpaksa kembali semula ke Kampung Niyang Rapik setelah kematian Zack. Walaupun pertama kali membintangi sebuah filem, namun lakonan Kamal setanding dengan bintang lain yang turut menjayakan filem terbabit.
Trackback(0)
 |