|
FANATIK KRIS ALLEN
|
|
Ditulis oleh Nonie
Selasa, 09 Februari 2010 17:34 |
|
|
|
Mid Valley penuh sesak dengan kehadiran peminat juara American Idol musim kelapan, Kris Allen yang ingin bertemunya dengan lebih rapat dalam rangka promosi album sulungnya. Beratur seawal jam 10.00 pagi di sekitar ruang legar Centre Court Mid Valley untuk menjadi 200 peminat bertuah bukanlah satu perkara yang memenatkan apabila berpeluang bertemu jejaka berusia 24 ini secara ekslusif.
Ternyata peminat Malaysia sangat teruja dan fanatik terhadap bintang muda ini dan pengalaman Mangga Online (MO) sendiri sewaktu menjalankan tugas, ada juga kalangan wanita bekerjaya lewat usia 40-an yang sanggup menunggu di hadapan pintu masuk ke sidang media semata-mata mahu melihat penyanyi kesayangannya. Dan lebih tenat lagi, MO mendapat panggilan bertubi-tubi daripada eksekutif bank ternama semata-mata ingin mengetahui bagaimana keadaan Kris Allen dan memaksa MO membawanya masuk ke showcase.
Begitulah penangan Kris yang penuh dengan sifat rendah diri ini. Baginya menjadi seorang artis antarabangsa adalah perkara yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.
 "Memang pelik kerana daripada seorang yang tiada apa-apa, kini saya menjadi superstar. Tinggal di apartment kecil hanyalah kenangan dan memang hebat kerana saya dapat mulakan karier muzik yang diminati selama ini," ujar jejaka kelahiran Jacksonville, Amerika Syarikat itu.
Kris bagaimanapun meluahkan perasaan simpatinya kepada mereka yang sedang mencuba nasib untuk memasuki American Idol 9.
Melantunkan lagu-lagu daripada album sulungnya termasuklah Live Like We're Dying, Red Guitar dan No Boundaries membuatkan peminat yang hadir di The Gardens Ballroom histeria melihat Kris beraksi di pentas. Jeritan dan laungan I Love You Kris kerap kedengaran daripada mula sehingga tamat persembahan. Persembahan yang berakhir sekitar jam 10.30 malam ini berjaya memuaskan hati peminat yang sanggup menunggu hampir 12 jam semata-mata kerana Kris Allen.
Showcase ini dibawa khas oleh Star World bersama Sony Music, Astro dan Hitz.fm.
Trackback(0)
 |
|
Terakhir dikemaskini ( Selasa, 09 Februari 2010 17:51 )
|