|
Vokal Sarah Geronimo Mengagumkan
|
|
Ditulis oleh Nonie
Rabu, 27 Januari 2010 12:56 |
|
|
|

Peluang hadir ke konsert artis Filipina 24 Januari lalu tidak ingin dilepaskan. Al maklumlah bukan senang melihat artis Filipina datang membuat persembahan. Berada dalam Stadium Badminton Cheras membuatkan Mangga Online (MO) terasa seperti berada di luar negara, masakan tidak hampir keseluruhan penonton yang datang terdiri daripada warga negara terbabit.
Walaupun yang hadir tidak mencecah ribuan pengunjung, namun suasan gamat dirasai kerana rata-rata nyata begitu teruja melihat artis kesayangan mereka beraksi di pentas. Memulakan konsert sekitar jam 2.00 petang, Sarah muncul melantunkan lagu London Bridge, Here I Come dan Deja Vu dengan persona bintang sehinga memukau MO yang pada mulanya agak bosan kerana menunggu sejak 12.00 tengahari.
Kejelitaan dan lenggok tari Sarah melayakkannya diiktiraf sebagai artis antarabangsa, dan sedikit info, Sarah pernah merakamkan album bersama Howie D (Backstreet Boys) dan kerap turun ke Amerika Syarikat atas undangan konsert. Mengucapkan "Selamat tengahari" dan "Terima Kasih Malaysia" dengan sedikit pelat, namun MO hargai kerana beliau masih mempelajarinya walaupun hanya sepatah ayat.
Kemunculan Mark Bautista sebagai undangan, membuatkan penonton semakin histeria dan teriakan "I love you Mark" kerap dilaungkan setiap kali kemunculannya di pentas. Kelunakan dan keunikan suara mendendangkan lagu-lagu lama seperti Falling In Love dan Love Story nyata berjaya membuatkan hadirin terpegun.
Dan saat tidak boleh dilupakan apabila Mark membawakan lagu Anak yang begitu popular suatu ketika dulu. Lagu yang mempunyai 36 versi berlainan bahasa ini menyelubungi suasana hiba seluruh stadium dengan nyanyian Mark yang begitu menyentuh perasaan walaupun MO sendiri tidak begitu paham akan maksudnya.
Nyata usaha Celcom membawa Sarah Geronimo dan Mark Bautista tidak sia-sia, walaupun dapat dikira rakyat Malaysia yang menghadiri konsert tersebut, namun nyata kami telah dapat melihat kehebatan bakat artis Asia yang setaraf artis antarabangsa.
Pada usia 21 tahun, Sarah telah membawa imej superstar, namun masih bercita-cita menamatkan pengajiannya dalam associate art. Meskipun terkenal sebagai penyanyi, pelakon dan model, namun keluarga dan pendidikan menjadi subjek utama dalam hidupnya.
MO begitu terpegun dengan kejelitaan dan bakat yang ada pada gadis muda ini. Bakat luar biasa Sarah nyata berjaya membuka peluang untuknya menjayakan konsert di Malaysia.
FOTO oleh Noor Azlina Jaafar




Trackback(0)
 |